Wednesday, June 1, 2011

Di Sebalik Keperluan Air

Air merupakan sumber utama keperluan cecair  seharian kita. Air mineral atau minuman, susu, teh herba, sup cair,jus buah-buahan atau sayur-sayuran ialah pilihan kita untuk mendapatkan cecair yang diperlukan oleh badan. Minuman ringan juga menyumbang kepada cecair untuk badan kita, tetapi harus diingatkan minuman ringan yang mengandungi tinggi gula ini juga boleh menyumbang kepada tambahan kalori dan menyebabkan berat badan kita juga naik.

Adakah anda pernah mendengar kenyataan-kenyataan di bawah?
  •  Kita memerlukan 80 oz (~ 2400ml) air setiap hari.
  • Kita hanya perlu minum air apabila rasa dahaga.
  • Minum lebih air berbanding makan boleh membantu mengurangkan berat badan.
 HAKIKATNYA
  • Badan kita memerlukan cecair dan bukanlah hanya air. Cecair boleh diperolehi dari produk makanan dan minuman, buah-buahan dan sayur-sayuran. Terdapat makanan yang mengandungi lebih 80% air. Keperluan cecair berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada saiz badan, wanita yang mengandung atau menyusukan, aktiviti yang dilakukan, jumlah kehilangan cecair badan melalui peluh, air kencing atau pendarahan dan cuaca persekitaran.
  • Rasa dahaga tercetus apabila badan sudah kekeringan. Oleh itu, minumlah air sebelum anda berasa dahaga.
  • Berat badan boleh dikawal dengan mengamalkan makanan seimbang dan mengikut keperluan kalori individu di samping bersenam setiap hari selama 20-30 minit.
 
Minum terlalu banyak air boleh membahayakan?
  • Sekiranya anda mempunyai masalah buah pinggang atau mengambil ubat diuretik, anda perlu mendapatkan nasihat doktor mengenai keperluan seharian air anda.
  • Jangan minum air secara berlebihan pada satu masa yang sama. Selerakkan keperluan air anda sepanjang hari. Ini sangat penting terutama jika anda melakukan kerja berat sepanjang hari.
  • Bayi (0-6 bulan)yang hanya menyusu badan tidak memerlukan air tambahan. Pemberian air kepada bayi baru lahir boleh menyebabkan kejadian kuning berlarutan. Pastikan anda mendapat nasihat doktor mengenai cara menangani bayi kuning.

Artikel ini ditulis oleh Norazaidah Yusof
Penasihat Pemakanan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...